≡ Menu

3 Perkara Yang Kita Dapat Belajar Dari Dana ASNB Yang Berwajah Baru

Bermula 1 Mei 2018, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah pun berwajah baru.

Apakah yang telah berubah menjadi baru itu? Macam-macam juga tapi saya nak cerita pasal wajah baru unit amanah harga berubah di bawah ASNB.

ASNB Mempunyai 2 Jenis Produk

  1. Unit amanah berharga tetap seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 2, Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Didik (ASD), Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).
  2. Unit amanah harga berubah. Yang ini lah yang saya nak kongsikan tu. Rujuk gambar ya.

Apa yang kita dapat belajar dari langkah penjenamaan semula ASNB dari sini? 3 perkara.

1. Orang Muda Sesuai Labur Sehingga 90% Dalam Ekuiti

Ekuiti ni apa? Pasaran saham.

Pasaran saham ini macam roller-coaster. Dalam nota Tutorial Saham, saya dah awal-awal ingatkan perkara ini. Iaitu pasaran saham boleh jadi bergolek-golek. Semua pelabur saham mesti boleh tahan tengok kejatuhan saham sampai 50%. Ini tidak mustahil berlaku. Tengok apa yang berlaku terhadap saham MyEG selepas pilihan raya umum ke 14.

Harga dari sekitar RM 3 jatuh sampai RM 1.27. Dan ketika nota ini ditulis, harga saham MyEG ialah sekitar 90 sen sahaja.

Mereka yang masih muda secara umumnya dapat mengambil risiko pasaran seperti ini. Sebab usia persaraan masih jauh. Masih ada ruang untuk betulkan semula bakul pelaburan. Dan orang muda, mestilah lebih berani dari orang tua!

2. Pelabur Dewasa... Bersederhanalah

Apabila usia semakin meningkat, usia persaraan pun dah dekat maka dah boleh 'bersifat sederhana'.

Balanced fund dalam bahasa Jawa pekatnya.

Dari 90% aset dalam ekuiti boleh lah dikurang-kurangkan sehingga 60%. Cadangan sahaja. Nak kekal 90% pun boleh. Cuma usia dah masuk 40 tahun ini selalunya komitmen dah banyak. Kalau saham yang kita pegang itu jatuh sampai 50% , macam saham MyEG tu, masih sanggup ke nak tahan? Kalau masih sanggup boleh fokus lebih dalam ekuiti.

3. Bakal Pesara Lebih Konservatif

Seorang pesara yang dah mencecah usia 60 tahun sebenarnya masih perlu melabur. Ini kerana statistik menunjukkan rakyat Malaysia dapat hidup sehingga usia 77 tahun. Nak senang kira, kita terus pakai angka 20 tahun.

Ya, pesara masih ada 20 tahun untuk hidup dalam alam persaraan, secara statistiknya.

Inflasi tiap-tiap tahun ada. Kos sara hidup tiap-tiap tahun naik. Kos gaya hidup mungkin dah tak sehebat orang muda, tetapi digantikan dengan kos perubatan misalnya. Maka tak boleh nak letak duit persaraan 100% dalam akaun tunai i.e. simpan dalam bank sahaja.

Jadi, pesara juga kena urus pelaburan untuk persaraan dengan efektif. Ini kerana berbeza dengan pelabur muda dan pelabur dewasa, pesara sudah tidak ada lagi pendapatan dari pekerjaan. Sama ada duit pencen atau KWSP sahaja. Jadi nak ambil risiko pasaran banyak sangat pun perlu fikir banyak kali.
.

Tapi kan, Warren Buffett umur dah 88 masih rileks sahaja melabur saham. Hi hi hi.
.

Tuan dan puan dapat membaca kenyataan rasmi dari pihak ASNB di sini tentang penjenamaan semula ASNB:

-- Penjenamaan Semula Unit Amanah ASNB