≡ Menu

7 Soalan Saham Yang Sering Orang Tanyakan Dalam Seminar Saya

"Tuan, nanti cerita sikit pasal saham. Saya ada follow tuan dalam FB, baca blog tuan juga pasal saham-saham ni," seorang peserta membuat permintaan semasa sesi rehat.

"Boleh tapi saya kena habiskan modul latihan yang organizer minta dulu. Nanti bila saya minta soalan umum dari hadirin, tuan angka tangan ya dan tanyakan soalan," saya menjawab sambil tersenyum.

Selalunya apabila saya mengendalikan kursus dan latihan kewangan dengan agensi / jabatan kerajaan tidak cerita secara spesifik pasal saham. Ini kerana permintaan mereka selalunya tentang pengurusan kewangan khususnya tentang pengurusan hutang dan juga pengurusan persaraan. Jadi soalan-soalan pasal saham ini selalu datang dari peserta yang agak advance.

#1 Apa Itu Pelaburan Saham?

Orang yang berniaga perlukan modal. Cara untuk mendapatkan modal itu boleh dibuat dengan menjual saham-saham syarikat. Pelabur yang membeli saham tadi adalah pemilik syarikat tersebut. Ini membolehkan para pelabur memperoleh dividen hasil dari operasi syarikat.

Saham boleh kita jual dan beli. Bukan itu sahaja harga saham juga boleh turun dan naik. Keuntungan

Pelaburan saham kebiasaannya merujuk kepada pembelian saham syarikat-syarikat yang disenarakan di Bursa Malaysia.

Syarikat-syarikat yang tersenarai merupakan syarikat yang berstatus awam sahaja seperti syarikat Tenaga Nasional BERHAD.

Manakala syarikat SENDIRIAN BERHAD, saham mereka tidak dijual beli melalui Bursa Malaysia.

#2 Bagaimana Nak Mula Melabur Saham?

Nak beli saham kena ada akaun. Akaun itu tidak boleh dibuka di pejabat pos.

Nak mula melabur dalam saham kena ada ada share trading account & Central Depository System (CDS) account. Akaun ini dapat dibuka melalui mana-mana syarikat broker yang berlesen.

Individu yang berurusan dengan kita dalam urusan buka akaun ini selalunya dikenali sebagai remisier saham atau pun dealer saham.

Selepas dah selesai urusan pembukaan akaun dan telah memasukkan modal dalam trust account, proses jual beli saham dapat dibuat melalui online trading platform yang disediakan oleh syarikat broker masing-masing. Dah tak perlu pakai telefon macam dulu-dulu.

Selain itu jual beli saham juga dapat dibuat dengan menerusi initial public offering (IPO). Beli saham IPO ini berlaku apabila sesebuah syarikat menjual saham mereka untuk kali pertama di bursa saham.

Manakala ada juga syarikat-syarikat yang menawarkan Employee Share Option Scheme (ESOS) sebagai hadiah kepada para pekerja.

Selain itu para pelabur juga boleh menyerah tugas membeli dan menguruskan pelaburan saham kepada licensed fund manager.

#3 Orang Kaya Sahaja Main Saham Ni Kan?

"Yang kaya main saham sebab tu dia makin kaya. Yang tak berapa kaya ni? Masuk skim cepat miskin, tu yang makin miskin. Jadi nak ikut siapa?" saya berseloroh.

Modal yang diperlukan untuk mula membeli saham bergantung kepada harga satu unit saham yang mahu dibeli. Bursa Malaysia menetapkan jumlah minimum pembelian saham ialah 100 unit. Membeli 100 unit saham bermaksud kita membli 1 lot saham.

Sekiranya harga saham itu berharga RM 0.50 maka pembelian 1 lot saham kiraannya adalah seperti berikut:

RM 0.50 x 100 unit = RM 50

Manakala untuk saham berharga RM 5, maka pembelian 1 lot saham kiraannya ialah:

RM 5 x 100 unit = RM 500

Kiraan ini tidak termasuk kos brokerage, stamp duty, clearing fee dan GST yang perlu dibayar semasa membuat pembelian saham. Kos-kos ini berbeza mengikut syarikat broker.

#4 Saham Ni Halal Tak? Macam Judi Je.

"Kalau saham ni judi tuan, kita tak dapat dividen. Sebab syarikat ada beri dividen, maka dengan itu secara automatik saham tak jadi judi," saya pun pakai topi ustaz. Maklumlah dapat soalan halal haram.

Lebih 70% saham yang diniagakan di Bursa Malaysia berstatus patuh Shariah.

Justeru, pelabur Muslim tidak perlu khuatir tentang halal dan haram. Majlis Penasihat Shariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menyemak status saham sesebuah syarikat 2 kali setahun.

Untuk memastikan tak terbeli saham tak patuh Shariah, pastikan tuan membuka Islamic share trading account yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat brooker.

#5 Macam Mana Boleh Untung Dengan Saham?

Pelabur saham berpeluang untuk mendapat keuntungan saham sekurang-kurangnya melalui dua cara berikut:

  1. Untung capital gain
  2. Untung dividen

Untung capital gain merujuk kepada perbezaan harga, atau dalam erti kata lain keuntungan buy low sell high.

Untung dividen pula merujuk kepada pembahagian sebahagian keuntungan syarikat kepada para pemegang saham. Dividen diagihkan berdasarkan prestasi operasi syarikat dan bukannya turun naik harga saham. Jadi, kejatuhan harga saham tidak menjejaskan pemberian dividen.

#6 Macam Mana Nak Elak Rugi?

Semua jenis pelaburan ada risiko rugi. Pelaburan saham juga tidak terkecuali.

Risiko dalam pelaburan saham ini dapat dinilai melalui 3 kaedah yang diguna pakai oleh mana-mana individu yang terlibat. 3 kaedah tersebut ialah bergantung sama ada individu itu merupakan:

  • Gambler
  • Trader
  • Investor

Gambler saham adalah individu yang paling senang buat rugi besar dalam pelaburan saham. Ini kerana gambler saham tidak mempunyai apa-apa ilmu pelaburan yang betul.

Keuntungan pelaburan saham sangat berkait rapat dengan kemahiran. High skill, high return. Low skill, low return.

Justeru, seorang trader saham mempunyai skill set yang berbeza dengan seorang pelabur saham.

#7 Takutlah Pakdi, Nanti Beli Je Harga Jatuh!

"Puan, dah nama pun pelaburan. Saham pula tu. Begitulah. Tapi bila masuk skim cepat melingkup ramai pula tak takut ye. Bukan setakat rugi sikit-sikit, 100% duit confirm tak dapat balik. Siapa berani gadai tanah lagi." saya pun menerangkan semula.

Harga saham berubah-ubah setiap hari.

Jadi apabila terlibat dalam pelaburan saham, tuan perlu bersedia melihat turun naik harga saham dalam tempoh yang pendek. Tapi jika beli dengan cara yang betul maka kita pasti memperoleh untung berlipat kali ganda.

Apabila pasaran menaik, kita panggil sebagai bull market. Waktu ini memang ramai orang buat duit. Maklumlah, beli untung. Beli untung. Beli untung. Tak beli je rugi. Rugi tak buat untung.

Apabila pasaran menurun, kita panggil sebagai bear market. Waktu ini memang ramai orang hilang duit. Beli rugi. Beli rugi. Beli rugi. Tak beli pun rugi. Sebab waktu bear market ini lah masa terbaik untuk buat duit.

Jadi jangan takut beli saham kalau ada ilmu. Jangan takut beli saham kalau beli saham tu pakai duit lebih. Yang jadi takut terlebih itu adalah kalau ilmu pun tak ada, modal beli saham pun pinjam duit orang!

Klik sini: Nota Untuk Pelabur Saham Baru