Prinsip pertama yang perlu difahami & dihadam oleh kebanyakan orang yang bekerja makan gaji ialah dia sedang menjual masa & skilnya kepada majikan.
Atas sebab itu, majikan membayar masa & skil anda tersebut dalam bentuk upah (gaji). Ianya satu kontrak persetujuan antara 2 pihak. Sekiranya satu pihak berhasrat untuk tidak meneruskan kontrak tersebut, maka ianya akan dibatalkan.
Prinsip kedua ialah no matter how excellent you are, you are replaceable. Sehebat mana pun pengalaman dan skil anda, kelak anda akan digantikan oleh orang lain yang lebih menepati kepentingan majikan itu sendiri.
Sekiranya anda betul-betul hadam akan 2 prinsip ini, nescaya anda akan mula merancang persediaan kewangan dari hari pertama anda mula bekerja dengan majikan tersebut.
Anda sudah mulai sedar? Apakah langkah-langkah yang patut anda lakukan? Berikut ialah 3 langkah paling utama yang perlu diberi perhatian.
#1 Semak Hutang / Komitmen Terkini
Tidak semua benda yang dapat dibeli secara tunai. Adakalanya anda terpaksa berhutang. Apa yang perlu anda pastikan ialah jumlah ansuran bayaran hutang bulanan tidak melebih 30% daripada pendapatan bersih.
Sekiranya terlebih, maka usahakanlah jalan untuk melangsaikannya secara berperingkat-peringkat mulai sekarang. Setiap kali anda melangsaikan satu hutang, aliran tunai di tangan anda pasti bertambah.
Dengan lebihan tersebut, anda boleh gunakan untuk menyiapkan simpanan kecemasan.
#2 Bina Simpanan Kecemasan Segera
Simpanan kecemasan adalah satu simpanan yang bakal kita gunakan sekiranya kita hilang sumber pendapatan. Ketika kita masih lagi mempunyai sumber pendaptan, kita masih belum nampak lagi kegunaannya.
Hal ini menyebabkan kita selalu meletakkan keutamaan yang rendah kepadanya. Tetapi jika kita berpegang kepada 2 prinsip utama seorang makan gaji seperti di perenggan sebelumnya, nescaya simpanan ini akan menjadi prioriti # 1 bagi kita.
Jumlah yang selalu disarankan bersamaan 6 bulan perbelanjaan isi rumah. Perbelanjaan isi rumah ini termasuk juga komitmen hutang. Sekiranya anda hilang sumber pendapatan, anda masih ada lagi 6 bulan dengan jumlah tersebut untuk meneruskan rutin hidup sementara mencari pendapatan yang baru.
Cuba semak kembali simpanan kecemasan anda, adakah ia sudah mencukupi? Sekiranya tidak, sedarlah anda dalam bahaya dari sudut perancangan kewangan. Usah bertangguh lagi.
#3 Simpan Dalam Bentuk Harta
Apa itu harta?
Dari sudut pandangan shariah, sekiranya ia perlu dizakatkan maka itulah harta. 20% daripada pendapatan anda lebih utama disimpan dalam bentuk harta. Pay yourself first dalam bentuk harta, bukannya dalam bentuk liabiliti.
Kelebihan menyimpan dalam bentuk harta ialah simpanan anda tersebut ada peluang untuk nilai asalnya meningkat. Berikan masa untuk ia berkembang dengan sebaiknya.
Simpanan dalam jenis harta apa yang patut didahulukan terlebih dahulu? Maka carilah ilmu ataupun dapatkan bimbingan daripada penasihat kewangan yang profesional.
Dengan menumpukan perhatian penuh kepada 3 langkah tersebut, sekiranya ditakdirkan anda hilang sumber pendapatan pada suatu masa, anda sudahpun bersedia.