Pelabur tegar faham sangat perkara ini.
Pelaburan dibuat sebab jika duit tunai tidak dilaburkan, ianya habis dimakan inflasi. Seterusnya ianya susut disebabkan zakat.
Ini adalah risiko yang pasti dialami oleh semua orang. 100% dapat berlaku. Bermaksud siapa yang tidak melaburkan duit tunainya tetap mengalami kerugian.
Kenapa Melabur Saham?
Perniagaan adalah cara terbaik untuk melawan inflasi.
Namun bukan semua orang berbakat berniaga. Maka cara lain adalah membeli saham syarikat-syarikat yang diterajui oleh mereka yang pandai berniaga. Cara yang paling mudah dan efisyen adalah menerusi pasaran saham.
Turun Naik Harga Bukan Risiko Sebenar
Turun naik harga dalam pasaran saham disebut sebagai volatility. Ia adalah perkara yang pasti berlaku dulu, kini dan selamanya. Bagi kebanyakan orang volatility ini dianggap sebagai risiko. Lagi volatile sesuatu saham itu maka saham itu dianggap lebih berisiko.
Tetapi volatility bukan risiko yang sebenar. Risiko yang sebenar ialah apabila sesuatu harta itu memberikan Return on Investment (ROI) yang rendah.
Misalnya produk fixed deposit (FD). FD tidak ada volatility. Kadar keuntungan sudah ditetapkan. Maka ia dianggap berisiko rendah. Tetapi adakah ROI 3% itu mampu mencapai objektif kewangan ?
Ada produk yang mempunyai volatility yang lebih tinggi dari pasaran saham. Iaitu futures market. Futures market yang popular di Malaysia adalah Crude Palm Oil Futures (FCPO). Oleh FCPO lebih volatile, maka lazimnya FCPO dianggap lebih berisiko dari pasaran saham.
Tetapi berapakah ROI setahun apabila terlibat dalam pasaran FCPO ? Ianya bergantung kepada kemahiran membuat spekulasi. Seseorang yang lebih mahir menjadi spekulator FCPO maka ROI yang diperoleh adalah lebih tinggi dari mereka yang tidak mahir. 'High risk' tidak secara automatik dapat high return. Kebiasaannya 'high risk, no return,'
Leverage Buat Untung Jadi Lebih Besar... Termasuklah Rugi
Tinggi rendah ROI juga dapat disebab faktor leverage atau hutang.
Sekiranya kita betul membuat jangkaan pergerakan harga, maka untung menjadi lebih besar. Sekiranya kita salah, maka kerugian yang dialami juga adalah besar. Leverage ialah double edge sword.
Untuk mengelakkan diri dari dipengaruhi short term volatility, maka jangan fokus kepada pergerakan harga. Cari nilai sesuatu harta terlebih dahulu. Buat pelaburan berasaskan nilai.
Investor vs Speculator
Nilai sesuatu harta adalah lebih tetap dan konsisten. Perubahan nilai tidak berlaku tiap-tiap hari. Mengetahui perbezaan antara harga vs nilai adalah kritikal untuk mendapatkan ROI yang lebih tinggi.
Malangnya bukan semua harta kita dapat membuat anggaran nilai. Sekiranya itu yang berlaku, maknanya harta yang kita beli itu adalah pelaburan spekulatif sifatnya. ROI yang diperoleh hanya dari buy low sell high.
.
Menurut pelabur tersohor, Warren Buffett, pelaburan adalah aktiviti menangguhkan perbelanjaan hari ini supaya kita dapat berbelanja lebih pada masa hadapan. Risiko adalah kebarangkalian kita gagal mencapai objektif tersebut.
Ini bermaksud, tidak melabur langsung adalah aktiviti paling berisiko. Ini kerana perbelanjaan RM 1 pada 1977, 40 tahun selepas itu perbelanjaan tadi meningkat menjadi RM 2.21. Kadar inflasi 2%. Manakala untuk tempoh yang sama, siapa yang beli indeks saham Bursa Malaysia, maka setiap RM 1 maka pada 2017 nilainya sudah jadi sekurang-kurangnya RM 14.5.