≡ Menu

Bersedialah Menghadapi 4 Perkara Yang Dapat Menghabiskan Banyak Duit

Ada sekurang-kurangnya 4 perkara yang dapat menyebabkan baki dalam akaun bank susut dengan cepat.

2 daripadanya pasti terjadi. 2 yang lainnya pula, mudah-mudahan tidak berlaku.

Berita baiknya, persediaan dapat dibuat untuk kesemua 4 perkara tersebut. 4 perkara tersebut ialah:

1) Diberhentikan Kerja

Tidak ada siapa mahu mendapat notis diberhentikan kerja.

Tetapi dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, apa-apa pun boleh terjadi.

Setakat hari ini tidak ada insurans/takaful yang dapat melindungi kita dari kehilangan sumber pendapatan.

Individu yang telah membina bahtera kewangan dengan mempunyai simpanan kecemasan, telah tukar duit gaji jadi harta sebenar dapat melalui gelora ini dengan baik.

2) Persaraan

Bernama baru-baru ini melaporkan 85% rakyat Malaysia menyesal kerana tidak menyimpan untuk persaraan.

Laporan tersebut juga menyatakan 64 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun, mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun persaraan mereka dan hanya bertahan selama empat tahun selepas persaraan pada kadar perbelanjaan RM950 sebulan.

Malah jika dapat duit 6,7 angka sekaligus, tanpa ilmu pengurusan duit yang betul, duit-duit tersebut juga dapat habis dengan cepat kalau masih belum tukar mind set.

Persaraan ini adalah perkara yang pasti. Maka situasi tak cukup duit waktu bersara ini sebenarnya dapat dielakkan jika persediaan telah dibuat awal.

Dan yang lebih utama, kena tahu bagaimana nak pastikan duit simpanan persaraan tadi tak habis cepat sangat dan cukup untuk tempoh lebih dari 20 tahun lepas bersara.

3) Perceraian

Statistiknya membimbangkan.

Dilaporkan 156 pasangan Muslim bercerai sehari.

Ini bermaksud pendapatan isi rumah sudah berubah. Suami dan isteri sudah tidak lagi berkongsi pendapatan bersama. Akan berlaku tuntutan harta antara keduan pasangan bercerai.

Maka kesan kewangan dari perceraian ini amatlah besar lebih-lebih lagi jika selama ini perbelanjaan keluarga dibuat berdasarkan pendapatan bersama.

4) Kematian

Ini adalah sesuatu yang pasti.

Jangan takut mati tetapi bersedialah menghadapi kematian.

Dari sudut pengurusan harta, tuan-puan perlu jawab persoalan ini:

"Sekiranya aku mati hari ini, siapakah waris-waris yang berhak kepada harta aku, dan bertanggungjawab menguruskan harta tersebut ?"

Tak perlu ada KWSP RM 2 juta baru nak fikir pasal wasiat, hibah, penama dan faraid. KWSP RM 20 ribu pun dapat menjadi konflik jika kita tidak menguruskan penama dengan betul.

Barangkali ada isteri/suami yang ditinggalkan. Barangkali ada anak-anak yang masih bersekolah. Mungkin ada ibu-bapa yang kita beri duit tiap bulan. Mungkin kita ada anak angkat. Atau seorang datuk berhasrat nak beri cucu kita harta tertentu. Dan pelbagai lagi situasi kewangan.

Breadwinner wajib fikir dengan serius sebab mati itu bila-bila sahaja dapat menjemput kita semua.

Tidak wajar membiarkan harta-harta kita beku terlalu lama hingga menyebabkan orang yang kita sayang tidak dapat meneruskan hidup seperti biasa seterusnya duit mereka habis kerana sumber harta breadwinner tadi beku.